SELAMAT DATANG

Welcome to AkuDanDotDotDot

Di Mana Guru Di Mata Kita

♠ Posted by Akmal Zainal in at 3:48:00 PTG


Di zaman moden yang penuh mencabar ini, karier sebagai seorang guru bukannya satu tugas yang mudah seperti yang dilihat oleh mata kasar kita semua. Apabila kita menyelami tugas seorang guru masa kini berkemungkinan kita semua akan kembali berfikir.

Jika dahulu kerjaya sebagai pendidik di pandang tinggi oleh semua masyarakat, namun kini kerjaya seorang guru sentiasa diperkatakan, direndahkan martabatnya dan menganggap kerjaya sebagai seorang guru bukanlah satu bidang profesional.

Guru-guru seringkali dipersalahkan sekiranya murid-murid gagal di dalam peperiksaan, sekarang ini juga acap kali kita dengar kes-kes guru memukul murid, guru bertumbuk dengan murid, guru merotan murid dan pelbagai lagi kesalahan salah laku yang seolah-olah guru suka 'mendera' murid.

Jika dahulu ibubapa sendiri datang ke sekolah memberikan rotan kepada guru untuk mendidik anak mereka namun kini ada juga ibubapa asalkan sahaja di tubuh badan anak-anak mereka terkesan sedikit pastinya guru akan dikecam.

Gilakah guru-guru masa sekarang ini? Kerja asyik merotan dan memukul pelajar. Seolah-olah sebagai hobi harian memukul dan merotan pelajar sesuka-hati?

Adakah guru akan merotan atau mendenda murid jika segala kerja rumah, latihan disiapkan oleh murid? Apakah tindakan kita jika latihan-latihan yang diberikan dipulangkan kepada  kita dengan kertas kosong yang tidak berbuat apa-apa? Itu baik lagi, apakah perasaan kita jika latihan-latihan yang diberikan dipulangkan dengan sehelai kertas yang kedut beribu serta kotor, namun tiada sebarang tanda-tanda kertas ditulis dengan pensel atau pen? Apakah kita mampu bersabar lagi jika kerja yang diberikan hari ini tidak juga siap-siap sehingga berminggu-minggu tidak pernah disiapkan?

Guru juga seorang manusia. Percayalah tidak ada guru di dunia ini akan memukul, merotan, menampar malah mendenda murid yang sentiasa menyiapkan kerja yang diberikan, sentiasa memberikan perhatian semasa mengajar, kerjasama yang baik yang diberikan oleh murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.

Guru bekerja dengan beratus-ratus emosi yang perlu dijaga dan diberikan perhatian. Percayalah, kita sendiri tidak mampu untuk mengawal emosi jika berhadapan dengan beratus-ratus emosi setiap hari. Ada juga yang mengatakan perkara di atas merupakan satu penipuan oleh guru-guru. Apa tidaknya, maksimum sebuah kelas pun hanya 40 orang murid, masakan guru perlu berhadapan dengan beratus-ratus orang murid dalam sehari?

Setiap guru diberi waktu mengajar dari 24 hingga 32 waktu mengajar, puratanya dalam setiap hari seorang guru akan masuk dalam 3 kelas berlainan. Jika sudah ada 3 kelas, berapa orang murid pula guru perlu berjumpa? Tidakkah sampai 120 orang murid dalam sehari.

Usah dicerita berkaitan dengan menanda latihan murid, usah dicerita dengan beban guru yang lain. Sesungguhnya seorang guru akan berjumpa dengan 120 orang murid yang bermacam ragam.

Masihkah kita ingat lagi guru yang paling garang di sekolah semasa kita di sekolah rendah dan menengah dahulu? Cikgu Disiplin adalah guru paling popular dari dulu sampai sekarang. Kenapa ada dikalangan kita masih lagi mengingat guru-guru paling garang ini? Adakah mereka mendenda kita apabila memakai pakaian seragam sekolah yang sepatutnya, adakah kita dipotong rambut yang kemas dan pendek? Adakah kita akan didenda kita menghantar latihan yang diberikan? Ternyata yang salah sahaja dihukum. Kadang-kala kita sanggup menyiapkan kerja sekolah dibawah pelita semata-mata tidak mahu didenda. Adakah guru tersebut kita labelkan sebagai KEJAM?

Cuba pula ingat kembali siapakah guru yang mengajar kita Subjek Bahasa Melayu dari tahun 1 hingga tingkatan 5? Cikgu-cikgu Bahasa Inggeris? Cikgu-cikgu Matematik? Cikgu-cikgu subjek lain? Ternyata kita hanya mampu mengingat guru-guru yang hanya memberikan kesan yang mendalam pada jiwa kita. Ya, ciri-ciri yang ada pada guru tersebut adalah tegas dan garang. Dan mungkin jua disebabkan guru tersebut kelakar dan baik hati.

Cuba kita lihat diri kita pada masa ini, mampukah kita menjadi diri kita tanpa guru-guru tersebut? Kenapa bila sekarang ini ada guru-guru sebegini cuba mendidik anak-anak kita kita seolah-olah tidak membenarkan langsung anak kita dicuit oleh guru-guru ini? Tidakkah kita sedar bahawa guru-guru inilah yang akan menjadikan anak-anak kita lebih dewasa dan mampu berdikari apabila mereka berhadapan alam dewasa kelak?

Mampukah kita bertanggungjawab di atas segala apa yang berlaku pada anak kita pada masa akan datang di atas apa yang kita lakukan pada masa kini? Adakah kita mahu melihat situasi "Anakku Sazali" berlaku dihadapan mata kita, anak-anak kita menjadi 'Sazali Moden'. Ambillah pengajaran dari cerita tersebut bukan semata-mata kita ketawa berdekah-dekah melihat gelagat lucu oleh para pelakon.

Jika ada guru-guru yang dirasakan agak keterlaluan, kita boleh terus berjumpa dengan pihak sekolah, berbincang dengan cara orang dewasa bukannya terus-terus membuat laporan polis, dan ingin menyaman guru tersebut.

Apa yang akan kita lakukan jika kita telah tersilap langkah, anak mengadu bahawa guru menampar. Kita buat laporan polis dan mendapatkan laporan hospital. Terus sahaja ke pejabat peguam untuk menyaman guru tersebut. Akhirnya laporan hospital menunjukkan anak kita tidak terdapat kesan tamparan, namun ia hanyalah alahan. Apa yang kita akan lakukan? Bukankah kita sendiri yang akan malu?

Kita sebagai dewasa bertindaklah sebagai seorang dewasa berfikiran matang dan terbuka. Bukan 100% mempercayai kata-kata anak kita tanpa membuat sebarang penyiasatan terlebih dahulu. Ingatlah, guru juga adalah ibubapa seperti kita.

Ikhlas,
GURU MODEN


GAMBAR DIAMBIL DARI: agendasemasa

0 Komen:

Catat Ulasan