♠ Posted by Akmal Zainal in Aku Dan Cerita,Aku Dan Sejarah at 1:23:00 PTG
Hari Malaysia disambut pada 16 September
setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di
tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama
Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Pembentukan persekutuan baru ini
dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke
31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan
hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia
dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan
ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi
membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat
pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.
Hari Malaysia merupakan cuti am di
negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan
merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Mulai tahun
2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.
Mencari Nilai Hari Malaysia
TANGGAL 16 September tahun ini, usia Malaysia sebenarnya baharu mencecah 46 tahun. Tarikh ini pada tahun 1963, Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka
disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor
Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat
jelata.Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan
Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia
lantas, melancarkan konfrantasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang
Malaysia" yang berlanjutan sehingga tahun 1966.
Filipina pula menuntut haknya ke atas
Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu
dengan pihak British. Brunei yang turut termasuk dalam rancangan
penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah
berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari
pada penghujung 1962.
Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai
1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London
hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan,
lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan
kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.
Tarikh perasmian pengisytiharan
Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos
1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut
pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina emperhebatkan tentangan
mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia. Dan akhirnya 16
September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia
ditubuhkan.
Namun, Hari Malaysia dan sejarahnya ini
akan hanyut ditelan zaman. Sekalipun tidak hilang, tetapi apalah nilai
Hari Malaysia jika sejarahnya hanya tersimpan di arkib, perpustakaan dan
memori generasi lama? Apakah generasi muda sedar akan kewujudan Hari
Malaysia?
Jawapan yang ada mungkin ya dan mungkin
tidak, kerana tiada kajian rasmi yang menunjukkan persepsi ini. Namun,
cubalah kita bertanya-tanya dengan anak-anak kita, cucu-cucu kita atau
tanya sahaja dengan belia remaja yang kita temui di pusat-pusat membeli
belah, yang sedang meladeni diri di kaki-kaki jalan dan yang terperuk di
rumah memaku matanya pada skrin TV atau komputer. Jawapan yang kita
terima, mungkin boleh dijadikan sebagai gambaran persepsi di atas.
Tulisan ini gambaran persepsi yang
diterima melalui jawapan-jawapan daripada belia remaja sekeliling
penulis. Hasilnya, penulis kecewa dan gusar akan nasib Hari Malaysia dan
sejarahnya di masa mendatang. Ya, ada yang sedar akan kewujudan Hari
Malaysia, tetapi apakah nilaiannya pada mereka? Apatah lagi yang tidak
sedar akan kewujudan Hari Malaysia. Ini merupakan satu fenomena tidak
sihat dalam perkembangan diri generasi muda. Buta sejarah akan
menjadikan mereka rapuh jati diri yang akan merendahkan semangat
patriotik pada diri mereka.
Permasalahan ini tidak dapat hanya kita
sandarkan penyelesaiannya melalui pengajaran dan pembelajaran subjek
Sejarah dan Pendidikan Sivik di sekolah. Kesedaran tentang kewujudan
Hari Malaysia tidak boleh hanya terkurung dalam kurikulum pendidikan
formal di sekolah. Penghayatannya perlu dalam bentuk interpretasi dalam
kehidupan realiti.
Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos saban
tahun merupakan contoh terbaik kesedaran melalui kurikulum pendidikan
sekolah dan penghayatan melalui interpretasi dalam kehidupan realiti.
Kita belajar akan Hari Kemerdekaan di sekolah dan kita lihat betapa
pentingnya tarikh tersebut melalui sambutan gilang-gemilang menyambut
tarikh tersebut.
Nah, tentu sahaja memberi kesan yang
membekas pada diri generasi muda untuk memahami bahawa Hari Kemerdekaan
merupakan satu peristiwa penting dan sejarahnya akan terus hidup dalam
diri mereka. Justeru, cadangan menaik taraf penghargaan terhadap Hari
Malaysia merupakan satu cadangan yang praktikal dan signifikan demi
memastikan Hari Malaysia dan sejarahnya akan terus wujud dan hidup dalam
diri generasi muda.
Penarafan semula penghargaan terhadap
Hari Malaysia boleh sahaja dilaksanakan melalui sambutan rasmi sama ada
di peringkat negeri dan kebangsaan. Selain itu, hebahan melalui media
cetak mahupun televisyen melalui pemaparan imbauan sejarah juga penting
untuk menyebarkan kesedaran dan menanam penghayatan akan peristiwa
penting pada tarikh tersebut. Bukan hanya setakat sebagai bahan bualan
oleh hos rancangan televisyen atau tajuk rencana akhbar, Hari Malaysia
perlu dijadikan sebagai tema rasmi dalam media cetak dan televisyen
untuk tarikh 16 September tersebut.
NGO atau organisasi masyarakat setempat
juga boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran dan
penghayatan Hari Malaysia di peringkat akar umbi masyarakat. Melalui
penganjuran sambutan Hari Malaysia di peringkat kampung, kawasan
perumahan atau dengan acara forum, ceramah, tayangan filem dan lain-lain
akan membantu masyarakat khususnya generasi muda untuk memahami mesej
betapa taikh 16 September merupakan tarikh penting yang mengandungi
peristiwa yang cukup signifikan untuk Malaysia.
Mungkin juga pengisytiharan tarikh 16
September setiap tahun sebagai hari cuti umum untuk seluruh negeri akan
menunjukkan betapa kerajaan Malaysia benar-benar serius dalam menghargai
Hari Malaysia. Pengisytiharan cuti umum ini akan membuka ruang untuk
sambutan gilang-gemilang sempena Hari Malaysia dilaksanakan.
Tentu sahaja rakyat di Sarawak dan Sabah
akan lebih merasakan kebersamaan mereka sebagai sebahagian daripada
rakyat Malaysia secara keseluruhan. Maka Hari Malaysia akan dirai
bersama sebagai bukti kesedaran dan penghayatan seluruh rakyat daripada
seluruh negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.
Seperti mana generasi muda sedar akan
Hari Kemerdekaan tanggal 31 Ogos setiap tahun, maka begitu jugalah
mereka akan sedar akan peri penting tarikh 16 September dalam lipatan
sejarah Malaysia melalui penghayatan yang selayaknya untuk Hari
Malaysia.
Jangan biarkan generasi muda terus
dilupakan tentang sejarah Malaysia yang dipenuhi dengan warna-warni
perjuangan generasi terdahulu. Penghargaan yang setimpal harus diraikan
untuk peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Malaysia yang membentuk
Malaysia seperti yang kita lihat hari ini. Melalui kesedaran sejarah,
maka generasi muda akan mampu menghayati nilai sebenar Malaysia.
PENULIS ialah Yang Dipertua, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (Perkepis)
sumber : Berita Harian
sumber : Berita Harian
0 Komen:
Catat Ulasan